Berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran



Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hasif Matzin

 




BERAKAS, Jumaat, 6 Mac. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.


Berangkat sama ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB); Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H.


Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447H dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.


Kemudian, majlis diteruskan dengan Sembah Alu-aluan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menjelaskan, sesungguhnya memahami makna ayat-ayat Al-Quran sama ada melalui terjemahan prakata dan huraian tafsirnya adalah untuk mengambil pengajaran daripadanya sesuai dengan maksud dan tujuan Allah Subhanahu Wata'ala mewahyukannya kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam untuk jadi pedoman dan amalan yang seterusnya meresap ke dalam diri manusia menjadi penghayatan.


Tambah Yang Berhormat, kerana itulah usaha mempelajari Al-Quran sangat perlu untuk terus-menerus diperkukuhkan untuk menjadikannya tidak sahaja setakat bacaan dan hafalan bahkan hendaklah dengan pemahaman.


Antara usaha ke arah itu jelas Yang Berhormat, ialah dengan adanya kegiatan dan program-program men'tadabbur' ayat-ayat Al-Quran.


Kegiatan men'tadabbur' ini terang Yang Berhormat, akan diperkukuhkan sewajarnya, di samping memperkukuhkan usaha pembelajaran bacaan dan hafalan yang kita telah ada untuk dikembangkan.


Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda.


Majlis kemudian diteruskan lagi dengan Pemakluman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, selaku Pengerusi Jemaah Hakim.


Setelah itu, majlis diserikan dengan Persembahan Pemenang Terbaik dari setiap kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H.


Sejurus itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah dan cenderamata kepada peserta.


Tema bagi Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447H ialah 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya'.


Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara pada tahun ini dikendalikan bersama oleh KHEU, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, dan BDCB.

















Close